MINGGU PERTAMA PERSEKOLAHAN PERLU JADI PEMULA KEPADA SISTEM PENDIDIJAN BAHARU

 

Minggu pertama persekolahan perlu jadi pemula kepada sistem pendidikan baharu

Rahimah Abdullah
Minggu pertama persekolahan perlu jadi pemula kepada sistem pendidikan baharu
Minggu pertama persekolahan perlu menjadi pemula kepada sistem pendidikan baharu dengan memberi penekanan kepada emosi dan psikologi pelajar. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Minggu pertama persekolahan perlu menjadi pemula kepada sistem pendidikan baharu yang memberi penekanan kepada emosi dan psikologi pelajar.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah itu memastikan pelajar berminat untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka serta tidak hanya menumpukan kepada usaha mendapatkan gred yang baik di sekolah.
"Jadi kalau kita tengok minggu ini, guru-guru sibuk dengan aktiviti. Semua guru begitu gembira melayani dan menyantuni anak-anak dalam sekolah.
"Namun, minggu seterusnya juga kita tidak boleh kembali secara dahulu, mengamalkan pembelajaran yang rigid, yang tidak mengamalkan pembelajaran tanpa mengambil perasaan murid dan sebagainya.
"Pada saya, kita kena ambil minggu pertama persekolahan menjadi pemula kepada sistem pendidikan baharu yang memberi penekanan kepada emosi, psikologi dan menyantuni murid sebagai individu pelajar.
"Pada setiap pelajar ini perlu kita fahami, perlu kita ketahui apa kelemahan, kelebihan dan potensi mereka," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Ujarnya, masalah keciciran pelajar perlu diteliti dengan lebih mendalam termasuk pelajar Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) sebelum ini yang masih tidak dapat menguasai 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira dengan baik.
“Pihak sekolah perlu mengetahui dan mengenal pasti siapa murid yang keciciran ini dan mereka perlu dibantu.
“Kedua, anak-anak masuk baharu masuk sekolah perlu menguasai 3M di awal persekolahan mereka iaitu di Tahun 1, 2, dan 3,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Anuar melihat 100 hari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bergerak ke arah yang lebih baik termasuk menangani isu sekolah daif dan beban guru.
Justeru, katanya, KPM dilihat berada di landasan yang betul, namun kementerian itu dicadang melibatkan lebih ramai masyarakat dalam membuat keputusan.
“Saya fikir jika itu dapat dilakukan, KPM boleh jadikan sistem pendidikan kita adalah yang terbaik di rantau ini,” ujar beliau.

Terbaru Lebih lama